Friday, July 30, 2010

Budaya Membaca

Membaca adalah jambatan ilmu.Orang yang berilmu adalah orang penuh hikmah, segala tutur kata dan tingkahlaku adalah beradab dan berstrategi. Bangsa yang maju adalah bangsa yang membudayakan ilmu membaca. Bagi mereka, membaca adalah sama penting seperti makan, minum dan tidur.

Membaca adalah makanan bagi minda, penenang kepada jiwa dan rohani, membentuk insan, mencipta teknologi dan tamadun. Dengan sebegitu banyak kebaikan dan manfaat yang boleh didapati dari membaca, kenapa ramai umat manusia terutamanya di Malaysia ini masih lagi malas dan tidak mahu mengamalkan budaya membaca?

Bacalah buku yang bermanfaat, buku yang membina minda, membentuk jatidiri, buku yang membantu merubah gaya hidup kita. Bukan tidak boleh baca buku picisan seperti novel-novel, majalah kartun atau komik tetapi haruslah dikurangkan. Banyakkan membaca buku-buku yang berkualiti. Contohnya, buku-buku motivasi, mencipta kejayaan dan kekayaan, ilmu bantu diri dan peningkatan diri. Di negara-negara maju, rakyat mereka sentiasa membaca. Melalui membaca mereka dapat menakluk dunia, mereka lebih terkehadapan dari orang lain, mereka lebih tahu dari orang lain dalam banyak perkara, mereka sentiasa menjadi rujukan oleh bangsa yang tidak maju.

Dengan membaca banyak buku juga kita boleh membuat duit dengan menulis beberapa buah buku dari idea dan penulisan kita sendiri.

SEKADAR BERKONGSI KESEDIHAN : Saya sedih kerana satu majalah yang amat saya suka dan sentiasa saya beli telah ditamatkan penerbitanya oleh kerana tidak mendapat sambutan dan kurang orang yang membacanya. Majalah yang saya maksudkan itu ialah MASSA. Mungkin ramai dari anda yang mungkin tahu majalah yang saya maksudkan itu. Majalah ini bagus dan penuh maklumat terkini dari dalam negara dan juga luar negara. Terasa satu kehilangan dan kerugian apabila majalah ini tidak diterbitkan lagi. Pada saya, rakyat Malaysia terutamanya orang melayu patut berasa sangat sedih dan terkilan, seperti yang saya rasa mengenang nasib majalah MASSA ini. Bagaimana bangsa melayu mahu berjaya dan maju sedangkan majalah yang berkualiti ini sendiri tidak ada orang yang mahu membacanya.

Marilah kita sama-sama memupuk dan mengamalkan budaya membaca. Disini saya ingin menjadi orang yang pertama menyokong dan memperjuangkan supaya majalah MASSA itu dapat diterbitkan semula, dibeli dan dibaca oleh semua orang melayu.

``Jika kamu mahu menakluk dunia, hendaklah dengan ilmu.
Jika kamu ingin hidup bahagia di syurga, hendaklah dengan ilmu.``

* Nota Kaki
Ilmu hanya boleh diperoleh melalui membaca. Orang yang membaca adalah berbeza dengan orang yang tidak membaca. Orang membaca berkata-kata dengan penuh ilmu dan fakta. Orang yang tidak membaca hanya mengulang-ngulang semula apa yang orang lain kata. Pilihan di tangan anda.

No comments:

Post a Comment